CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Tuesday, September 16, 2008

Kelahiran yang dinantikan...

Puteriku sayang...

Dua tahun ummi dan abah menanti, akhirnya Allah telah mengizinkan kau tercipta. Hadiah anniversary kedua yang paling bermakna, alhamdulillah ummi disahkan mengandung. Seawal usiamu 5 bulan dalam kandungan, ultrasound yang dijalankan menunjukkan bayi ummi seorang puteri. Kami sediakan namamu BUSYRA yang membawa maksud berita gembira. Diiringi nama NABIHAH sebagai doa agar kau menjadi orang yang bijaksana. Kiranya qadha' Allah tiada siapa dapat menduga. Kelahiranmu yang dijangkakan pada April terpaksa diawalkan kerana ummi disahkan mengalami pre-eklampsia. Jadi genap 33 minggu usiamu dalam kandungan, doktor mengesahkan ummi terpaksa dibedah secara caesarean demi menyelamatkan nyawa ummi dan juga engkau wahai anakku...

Gambar ini diambil secara sembunyi takut diketahui oleh jururawat bertugas. Tengoklah sarung tangan tu yang paling kecil di pasaran tetapi masih terlalu besar untukmu. Bahagian pergelangannya ummi jahit kasi kecik lagi supaya tak tercabut bila kau memakainya.
Tanggal 27 Februari 2004 (Jumaat),iaitu 2 hari sebelum tahun lompat, hadirlah kau ke dunia yang fana ini. Ummi tidak ingat berapa lama kita di dewan bedah, tetapi yang pastinya sebelum Solat Jumaat segalanya telah selesai. Tanpa pelukan pertama seorang ibu, atau pun bisikan iqamat bapa, kau terus dibawa ke nursery dan dimasukkan ke dalam inkubator. Kau terlalu kecil anakku... hanya seberat 1.42 kg. Doktor hanya mempamerkan kau kepada ummi seketika bagi menunjukkan jantina. kerana katanya bayi pra-matang mudah terdedah kpd jangkitan kuman... Permintaan ummi supaya jururawat memaklumkan kelahiranmu kepada abah juga tidak ditunaikan... Biasalah, ummi bersalin di hospital kerajaan, Hospital Duchess of Kent, Sandakan. Servis percuma manakan sama dengan orang yang bersalin di hospital swasta yang mengorbankan ratusan malah ribuan RM. Walau bagaimanapun ummi bersyukur kerana kita selamat, Thanks Ya Allah.

Gambar tak jelas dan senget sebab kamera tidak berkualiti (dapt free je)

Hari kedua barulah ummi berpeluang menjenguk engkau di nursery, itupun disorong dengan wheelchair oleh abah. Abah hanya iqamat melalui corong inkubator. Melihat keadaan kau di situ, air mata ummi senang saja mengalir. Tetapi bila memandang bayi-bayi lain rupanya masih ada yang lebih kritikal, berserabut dengan wayar dalam keadaan fizikal teramat kecil, ada yang tak sampai 1kg. Ummi bersyukur sangat-sangat kerana kau tidak mengalami komplikasi apa-apa. Buktinya hari ketiga kau sudah dikeluarkan dari inkubator dan dpindahkan ke dalam wad bayi bersebelahan. Walau bagaimanapun, kau terpaksa tinggal di hospital sehingga berat mencapai 1.8 kg. Sepanjang tempoh itu abah tidak dapat menyentuh kau kerana wad itu hanya boleh dimasuki oleh ibu-ibu. Para bapa hanya dapat memandang melalui kaca tingkap. Setiap hari ummi berulang-alik dari hospital ke rumah kerana ummi bermalam di hospital, tetapi pulang ke rumah untuk mandi air panas. Di hospital ini (ketika itu) kemudahannya belum sempurna, tidak seperti hospital di semenanjung yang dijaga kualitinya dari segala aspek. Agaknya sekarang keadaan telah berubah dengan pembinaan bangunan baru (ketika itu masih dalam proses).

Di sebelah tu namanya Khairul Anwar, bangsa Bajau. Dia lagi kesian, mengalami anaemia. Dia lagi lama berada di hospital sebelum dibenarkan pulang. Rasanya ada la dalam 3 bulan.

Sepanjang tempoh di nursery ini, tangan dan kaki engkau wahai anakku menjadi sasaran jarum-jarum picagari untuk diambil sampel darah untuk dianalisis. Ibu mana pun akan tersayat hati melihat bayi yang sekecil itu menangis kesakitan setiap kali diambil darah. Seorang anak rakan ummi lebih teruk lagi. Disebabkan tangan dan kakinya telah lebam dicucuk, akhirnya urat darah di kepala pula menjadi sasaran. Tetapi demi kebaikan anak, kami serahkan kepada kepakaran doktor disamping berdoa kepada Allah agar segalanya selamat.
32 hari menjadi penghuni wad ini, akhirnya tanggal 29 Mac kau telah dibenarkan pulang ke rumah bersama ummi. Hari itu juga barulah kau diberi suntikan BCG yang biasanya diterima oleh bayi yang baru lahir sebaik sahaja dilahirkan. Detik ini jugalah baru kau dibisikkan iqamat secara langsung oleh abah yang terpaksa menunggu sebulan lebih untuk menyentuhmu, zuriatnya.

Terima kasih tak terhingga ummi ucapkan buat abah di atas pengorbanannya menjaga kita. Terima kasih juga buat Makcik Shitah yang telah mengorbankan cuti semesternya semasa menuntut di UMS untuk menjaga makan minum ummi dan abah sepanjang tempoh itu. Hanya Allah yang mampu membalasnya.

Masa ni umur kau lebih kurang 3 minggu. Mata belum dapat mengecam objek lagi tu...

Benarlah, bayi pra-matang lebih cepat membesar apabila diurut dan dibelai. Buktinya selepas 2 minggu kau dibawa pulang beratmu meningkat dengan cepat berbanding semasa berada di hospital di mana keadaannya tidak membenarkan bayi di sebelah ibu. Anakku... sesiapa yang pernah melihatmu semasa bayi pasti memahami kegembiraan ummi melihat kau membesar seperti sekarang. Semoga sentiasa dirahmati Allah S.W.T. Salam sayang dari ummi.

0 comments: