CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Tuesday, September 23, 2008

APABILA ANAK DEMAM

Demam lagi. Innalillah wa inna ilaihi Rajiuunn.


Busyra demam sejak Ahad lepas. Beserta batuk dan selsema. Bukanlah perkara yang menghairankan jika dia demam, tapi apa yang kami takuti ialah jika panas badannya menjangkau 38 darjah celcius ke atas dia akan sawan (orang perlis panggil tarik). Mulutnya berbuih, matanya tidak berkelip dan dia macam pengsan walaupun matanya terbuka. Sejak umurnya dua tahun dah 4 kali Busyra kena sawan...

Pertama kali dia mendapat sawan ketika berusia 2 tahun lebih. Masih jelas terbayang, petang Khamis tu aku dan suami sudah perasan badannya agak panas. "Anak nak demam ni" kataku. "Malam ni kita pi klinik" Saran suami. Masa tu kami kat kampung ku di Kelantan. Busyra yang amat rapat dengan Chu Ain-nya tetap ceria bermain dan bergurau walaupun badan agak panas. Selepas solat Maghrib kami turun dari rumah bersama Busyra dan Chu Ain. Singgah jap kat Pasar malam di Tok Bali, beli sedikit lauk dan sayur. Busyra dan Chu Ain beli buih sabun (bubble) yang dalam bekas berbentuk handphone. Di dalam kereta menuju ke klinik mereka berdua ralit meniup buih sabun sambil ketawa riang.
Ketika hampir tiba di klinik tiba-tiba aku perasan Busyra diam dan mulutnya berbuih. " Ya Allah, abang anak minum buih sabun ke, tengok mulutnya berbuih ." Jeritku panik. Tapi aku lihat bekas bubble tergantung elok di lehernya. "Abang, anak sawan...!" aku dah tak tahu nak buat apa, aku pangku dia. Ketika itu ngam-ngam kami sampai di hadapan klinik. Tanpa parking di tempat yang sepatutnya, suami bergegas keluar dari kereta dan mengangkat Busyra ke dalam klinik. Beberapa orang pesakit yang ada dalam klinik tercengang, dan Busyra terus dibawa ke bilik doktor. Untuk meredakan suhu badannya doktor telah memasukkan ubat melalui dubur, kemudian barulah terdengar suara Busyra menangis... Itulah permulaan yang sangat menakutkan kami. Pesan doktor, badannya tidak kuat, dan biasanya kalau dah jadi, sawan ni akan berulang. Jadi jangan biarkan demamnya menjadi terlampau panas.
Busyra dan Chu Ain, macam adik-beradik. Kalau boleh semua baju nak serupa.
Sejak hari tu, kami sentiasa spare ubat demam samada ubat melalui punggung ataupun ubat minum setiap kali balik kampung mahupun di rumah. Dalam dok jaga tu pun masih jugak jadi... walaupun dalam dok lap (jelum) badannya dengan tuala basah, tapi masih lagi sawan. Yang last hari tu ketika aku sedang suap nasi tiba-tiba matanya tidak berkelip-kelip dan mulutnya berbuih dengan nasi masih dalam mulut. Suami pulak ke surau untuk solat maghrib. Alhamdulillah aku tidak panik walaupun airmata tak payah cerita la. Selepas dimasukkan ubat melalui dubur, barulah dia bersuara semula.

Kali ni Busyra demam beserta batuk dan selsema. Badannya tak lah panas sangat tapi sangat kesian mendengar batuknya walaupun ketika tidur. Selalunya kalau tak sihat dia suka mengikut aku ke sekolahku sementara abahnya datang mengambilnya setelah balik kerja. Tapi semalam dia merengek-rengek nak ke sekolahnya (sebenarnya TASKA je), nak bawa beg yang baru dibeli . "Nanti cikgu kata beg Nabihah cantik" Itu rupanya yang ada dalam minda anak ini...

Hari ni badannya hanya suam, tetapi batuk dan selsemanya belum baik lagi nampaknya. Alhamdulillah Busyra senang minum ubat. Itupun selepas umurnya 2 tahun. Kalau dulu Ya ALLAH sampai kena pegang kaki, tangan dan tutup hidung nak bagi minum ubat. itu pun setiap kali minum, pasti muntah semula. Sekarang. walaupun ubat tu pahit ke, manis ke tetap diminum jugak sebab katanya "Nabihah nak sihat, nak gi sekolah"... Aku ajarkan dia supaya berdoa "Ya Allah! Berikan aku kesihatan" dan diulang-ulang... Amin.



Tuesday, September 16, 2008

Kelahiran yang dinantikan...

Puteriku sayang...

Dua tahun ummi dan abah menanti, akhirnya Allah telah mengizinkan kau tercipta. Hadiah anniversary kedua yang paling bermakna, alhamdulillah ummi disahkan mengandung. Seawal usiamu 5 bulan dalam kandungan, ultrasound yang dijalankan menunjukkan bayi ummi seorang puteri. Kami sediakan namamu BUSYRA yang membawa maksud berita gembira. Diiringi nama NABIHAH sebagai doa agar kau menjadi orang yang bijaksana. Kiranya qadha' Allah tiada siapa dapat menduga. Kelahiranmu yang dijangkakan pada April terpaksa diawalkan kerana ummi disahkan mengalami pre-eklampsia. Jadi genap 33 minggu usiamu dalam kandungan, doktor mengesahkan ummi terpaksa dibedah secara caesarean demi menyelamatkan nyawa ummi dan juga engkau wahai anakku...

Gambar ini diambil secara sembunyi takut diketahui oleh jururawat bertugas. Tengoklah sarung tangan tu yang paling kecil di pasaran tetapi masih terlalu besar untukmu. Bahagian pergelangannya ummi jahit kasi kecik lagi supaya tak tercabut bila kau memakainya.
Tanggal 27 Februari 2004 (Jumaat),iaitu 2 hari sebelum tahun lompat, hadirlah kau ke dunia yang fana ini. Ummi tidak ingat berapa lama kita di dewan bedah, tetapi yang pastinya sebelum Solat Jumaat segalanya telah selesai. Tanpa pelukan pertama seorang ibu, atau pun bisikan iqamat bapa, kau terus dibawa ke nursery dan dimasukkan ke dalam inkubator. Kau terlalu kecil anakku... hanya seberat 1.42 kg. Doktor hanya mempamerkan kau kepada ummi seketika bagi menunjukkan jantina. kerana katanya bayi pra-matang mudah terdedah kpd jangkitan kuman... Permintaan ummi supaya jururawat memaklumkan kelahiranmu kepada abah juga tidak ditunaikan... Biasalah, ummi bersalin di hospital kerajaan, Hospital Duchess of Kent, Sandakan. Servis percuma manakan sama dengan orang yang bersalin di hospital swasta yang mengorbankan ratusan malah ribuan RM. Walau bagaimanapun ummi bersyukur kerana kita selamat, Thanks Ya Allah.

Gambar tak jelas dan senget sebab kamera tidak berkualiti (dapt free je)

Hari kedua barulah ummi berpeluang menjenguk engkau di nursery, itupun disorong dengan wheelchair oleh abah. Abah hanya iqamat melalui corong inkubator. Melihat keadaan kau di situ, air mata ummi senang saja mengalir. Tetapi bila memandang bayi-bayi lain rupanya masih ada yang lebih kritikal, berserabut dengan wayar dalam keadaan fizikal teramat kecil, ada yang tak sampai 1kg. Ummi bersyukur sangat-sangat kerana kau tidak mengalami komplikasi apa-apa. Buktinya hari ketiga kau sudah dikeluarkan dari inkubator dan dpindahkan ke dalam wad bayi bersebelahan. Walau bagaimanapun, kau terpaksa tinggal di hospital sehingga berat mencapai 1.8 kg. Sepanjang tempoh itu abah tidak dapat menyentuh kau kerana wad itu hanya boleh dimasuki oleh ibu-ibu. Para bapa hanya dapat memandang melalui kaca tingkap. Setiap hari ummi berulang-alik dari hospital ke rumah kerana ummi bermalam di hospital, tetapi pulang ke rumah untuk mandi air panas. Di hospital ini (ketika itu) kemudahannya belum sempurna, tidak seperti hospital di semenanjung yang dijaga kualitinya dari segala aspek. Agaknya sekarang keadaan telah berubah dengan pembinaan bangunan baru (ketika itu masih dalam proses).

Di sebelah tu namanya Khairul Anwar, bangsa Bajau. Dia lagi kesian, mengalami anaemia. Dia lagi lama berada di hospital sebelum dibenarkan pulang. Rasanya ada la dalam 3 bulan.

Sepanjang tempoh di nursery ini, tangan dan kaki engkau wahai anakku menjadi sasaran jarum-jarum picagari untuk diambil sampel darah untuk dianalisis. Ibu mana pun akan tersayat hati melihat bayi yang sekecil itu menangis kesakitan setiap kali diambil darah. Seorang anak rakan ummi lebih teruk lagi. Disebabkan tangan dan kakinya telah lebam dicucuk, akhirnya urat darah di kepala pula menjadi sasaran. Tetapi demi kebaikan anak, kami serahkan kepada kepakaran doktor disamping berdoa kepada Allah agar segalanya selamat.
32 hari menjadi penghuni wad ini, akhirnya tanggal 29 Mac kau telah dibenarkan pulang ke rumah bersama ummi. Hari itu juga barulah kau diberi suntikan BCG yang biasanya diterima oleh bayi yang baru lahir sebaik sahaja dilahirkan. Detik ini jugalah baru kau dibisikkan iqamat secara langsung oleh abah yang terpaksa menunggu sebulan lebih untuk menyentuhmu, zuriatnya.

Terima kasih tak terhingga ummi ucapkan buat abah di atas pengorbanannya menjaga kita. Terima kasih juga buat Makcik Shitah yang telah mengorbankan cuti semesternya semasa menuntut di UMS untuk menjaga makan minum ummi dan abah sepanjang tempoh itu. Hanya Allah yang mampu membalasnya.

Masa ni umur kau lebih kurang 3 minggu. Mata belum dapat mengecam objek lagi tu...

Benarlah, bayi pra-matang lebih cepat membesar apabila diurut dan dibelai. Buktinya selepas 2 minggu kau dibawa pulang beratmu meningkat dengan cepat berbanding semasa berada di hospital di mana keadaannya tidak membenarkan bayi di sebelah ibu. Anakku... sesiapa yang pernah melihatmu semasa bayi pasti memahami kegembiraan ummi melihat kau membesar seperti sekarang. Semoga sentiasa dirahmati Allah S.W.T. Salam sayang dari ummi.

Monday, September 15, 2008

SENYUMLAH WAHAI ANAKKU

Ya Allah, jadikanlah anakku ini anak yang solehah, hamba yang bertaqwa, anak yang menjadi penyejuk mata dan penawar hati bagi kami. Berikanlah kejayaan kepadanya di dunia dan akhirat. Jadikan dia manusia yang lembut hati terhadap sesama manusia dan makhluk-Mu tetapi tegas mempertahankan akidah dan syariat-Mu. Jadikanlah dia anak yang berbakti kepada orang tuanya dan pejuang pada jalan-Mu Ya Allah. Amin Ya Rabbal Alamiin.